Rumah untuk diduduki rakyat, bukan untuk keuntungan korporat

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memperjuangkan rumah selesa yang mampu diduduki untuk semua rakyat.
Harga rumah yang melambung tinggi menyebabkan kebanyakan keluarga baru tidak mampu memiliki rumah ataupun terperangkap dengan hutang yang bertimbunan akibat pinjaman bank untuk pembelian rumah. “Rumah mampu milik” hanya sekadar nama yang sedap didengar oleh banyak keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Rakyat biasa yang tidak dapat membayar balik hutang perumahan mengikut jadual akan menghadapi masalah rumah dilelong.

Selain itu, isu penyelenggaraan rumah pangsa, kekurangan rumah sewa murah untuk golongan berpendapatan rendah dan sebagainya, juga merupakan isu-isu perumahan yang dihadapi rakyat kita hari ini. 

Corak pemikiran yang ada pada kerajaan kita juga bermasalah. Kerajaan di negara kita, sama ada di peringkat pusat ataupun negeri, masih berpegang pada kepercayaan yang kononnya sektor swasta dapat menyediakan semua perkhidmatan asas dengan baik, termasuk perumahan. Namun, pada hakikatnya, komodifikasi rumah dan spekulasi yang berikutan daripadanya telah menyumbang kepada harga rumah yang melambung tinggi pada hari ini. Komodifikasi ini juga berlaku ke atas pembekalan “rumah mampu milik”. Isu pokoknya bukan bank yang tidak melonggarkan syarat untuk pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik, tetapi cara pembekalan rumah mampu milik itu sendiri sudah bermasalah. 

Oleh yang demikian, PSM mencadangkan langkah-langkah berikut untuk menyelesaikan kemelut perumahan:

i. Menubuhkan Lembaga Perumahan Rakyat yang tidak bermotifkan keuntungan untuk membina rumah pertama bagi rakyat yang memerlukannya (atau belum memiliki apa-apa rumah). Rumah-rumah yang dibina oleh Lembaga ini akan dijual kepada pembeli rumah pertama pada harga yang sedikit lebih tinggi dari kos pembinaan, dengan syarat bahawa pemilik hanya boleh menjual rumah ini kembali kepada Lembaga Perumahan Rakyat (dengan harga belian asal tambah faktor inflasi). Lembaga Perumahan Rakyat boleh menjual semula rumah tersebut kepada keluarga lain yang layak. Ini bermaksud bahawa pembekalan rumah di bawah Lembaga Perumahan Rakyat ini dipisahkan sepenuhnya daripada pasaran perumahan. 

ii. Majlis Bandaraya mengambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.

iii. Tambah pembinaan unit rumah sewa murah atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan berpendapatan terbawah. 

iv. Pinda syarat permohonan untuk PPR dengan menaikkan pendapatan maksimum pemohon kepada RM 1,500 sebulan atau pendapatan seisi sekeluarga kurang daripada RM 3,000 sebulan.

v. Kenakan cukai hartanah yang progresif dan strategik, terutamanya pemilik rumah mahal, rumah kedua dan ke atas. Wang yang dikumpul hasil daripada cukai ini boleh disalurkan untuk membina perumahan mampu milik.

vi. Cukai ke atas hartanah mahal yang tidak berpenghuni atau sebahagiannya tidak dihuni (under-occupancy tax). Cukai ini akan mengurangkan spekulasi harga rumah, dan mengurangkan kelonjakan permintaan dalam pasaran perumahan.

Kita perlukan anjakan paradigma dalam menyelesaikan kemelut perumahan yang dihadapi rakyat biasa di Pulau Pinang secara khususnya dan di Malaysia secara umumnya, iaitu kita perlu mengeluarkan pembekalan rumah kediaman (khususnya rumah pertama) daripada pasaran bebas yang dikuasai motif keuntungan pemaju. 

Dikeluarkan oleh,

Teh Yee Cheu
Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN N30 Sungai Pinang

Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) / Pengarah Kempen PSM DUN N30 Sungai Pinang
 
Sumber: Facebook